Legenda Liverpool, Jamie Carragher tanpa berselindung mengkritik Liverpool yang kelihatan agak sendu pada jendela perpindahan musim panas ketika ini.

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister, Liverpool kemudiannya seperti tidak bernafsu untuk menambah kekuatan pasukan.

Ia merupakan perkara penting perlu dilakukan oleh pengurus pasukan, Jurgen Klopp kerana Liverpool telah kehilangan khidmat Jordan Henderson, Fabinho, Naby Keita, James Milner, Alex Oxlade-Chamberlain dan Arthur Melo.

Bagaimanapun melihatkan kepada kegagalan untuk membawa masuk Moises Caicedo dan Romeo Lavia yang memilih Chelsea, Carragher menyifatkan aktiviti jendela perpindahan Liverpool sebagai memalukan.

“Ia benar-benar huru-hara, kelakarĀ  dan ia memalukan. Di tempat yang agak sukar, orang tahu mereka terdesak,” ujar Carragher menurut kenyataannya di Sky Sports.

“Masalah terbesar mengenai perkara ini ialah Liverpool sudah mengetahui mereka perlu mengukuhkan jentera tengah sejak bulan Ogos musim lalu, 12 bulan lalu.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Gary Neville yang turut merupakan pundit di Sky Sports dan menganggap Liverpool akan berdepan masalah pada ketika ini ekoran sikap pasif dalam pembelian pemain.

“Mereka telah melepaskan Milner, Henderson dan Fabinho pergi sebelum mereka mendapatkan pengganti.”

“Mereka mempunyai masalah besar sekarang, mereka akan panik dalam tempoh tiga minggu lagi berbaki jendela perpindahan ini.”

“Liverpool tidak melakukan perkara ini ketika dibawah kendalian Klopp. Mereka begitu lancar dan cekap dalam pasaran perpindahan.”

“Saya tidak tahu bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku, jelas sekali ia berkaitan dengan kakitangan [yang mengendalikan proses jual beli pemain],” tambah Neville lagi.

 

Sumber